February 24, 2011

##Bersediakah aku....

Seusai solat, saya mencapai al-Quran oren kesayangan saya. Ketika tangan baru saja menyentuh kalam Allah,tangan ini terketar-ketar terdengar bunyi guruh yang sangat kuat berserta kilat di luar bilik hostel. Dengan tingkat bercermin itu memang membenarkan saya untuk melihat pancaran cahaya itu. Bunyi guruh dan pancaran kilat itu benar-benar membuatkan saya terkejut dan takut. Bukan sahaja saya, roomate saya yang sedang lena diulit mimpi turut terjaga dek kerana bunyi guruh tersebut. Memang tidak saya nafikan, sebelum solat, memang saya terasa angin yang kuat, menandakan pagi ini akan hujan, tapi guruh dan pancaran kilat itu betul-betul menyentakkan hati saya.
Ketika itu hati terfikir, bagaimana keadaan saya pada hari kebangkitan nanti. Apakah saya sudah bersedia untuk menghadapi hari yang penuh rahsia itu. Sedangkan hal yang sudah saya jangka iaitu hujan, masih dapat menyebabkan saya terpana, apatah lagi hari kebangkitan yang penuh suprise. Sungguh payah untuk saya bayangkan keadaan saya nanti.
Kita sebenarnya sudah diberi ingatan demi ingatan, amaran demi amaran, tanda demi tanda tentang hari tersebut, tapi adakah kita peka terhadap ingatan, amaran dan tanda tersebut. Telinga ini sudah lali dengan cerita-cerita bencana alam, tsunami, gempa bumi, banjir, tornado dan sebagainya, tapi kita sebagai manusia memang mudah lupa. Amaran-amaran itu bagai terbang di angin lalu, masih belum cukup menyedarkan kita bahawa Allah Maha Kuasa. Jika tsunami di Acheh beberapa tahun yang dulu mengemparkan seluruh dunia, bagaimana hal nya hari kebangkitan yang semestinya berkali-kali ganda dahsyatnya yang sememangnya kita akan tempuhi, tanpa pengecualian sedikit pun. Tsunami itu hanya secebis ingatan dari Allah.
Saudaraku, ingatlah, dunia hanya lah pinjaman, hanyalah tempat persinggahan sementara, dan tidak kekal.
Firman Allah yang bermaksud:
"Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya." (3:185)
Kita adalah hambanya, suka atau tidak, pasti akan menghadap Ilahi. Kita akan terus meniti hari dan waktu, dan kita bukanlah semakin menjauh bahkan semakin mendekat ke arah kematian. Dan hari itu pastinya akan muncul, dan kita akan ditimbang amalnya, untuk ditentukan di mana tempat tinggal kita yang abadi. Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemunya? atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi dan diredhai? Dan fitrahnya manusia inginkan kebaikan, impikan tempat di sisi Ilahi. Namun, apakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak membuat persiapan untuk menghadap pada yang Maha Kuasa?Sungguh, kita lupa pada saat perjumpaan itu.
Allah berfirman, maksudnya:
"Takutlah kamu akan hari yang akan dikembalikan kamu kepada Allah, kemudian disempurnakan (balasan) tiap-tiap orang atas apa usahanya, sedang mereka tidak teraniaya" (2:281)

* Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk terus berada atas jalanmu. Janganlah sesekali Engkau menepis kami dari jalanMu kerana kelalaian kami. Pilihlah hati kami untuk terus mendapat hidayahMu, Ya Allah..Ameen


No comments:

Post a Comment